Nuffnang

Followers

Sunday, June 2, 2013

Saya memang gila-gila – Sakinah




SEJAK dari hari pertama hendak memperkenalkan dirinya sebagai pelakon, mulut Sharifah Sakinah pantas secara terang-terangan mengisytiharkan dirinya sebagai pelakon komedi. Katanya, tidak ramai pelakon yang mahu dikenali sebagai pelakon komedi kerana beranggapan komedi akan mengehadkan tawaran seseorang pelakon. Sementelah, dia secara natural suka berlawak dan mengusik rakan-rakan dan keluarga.
Ketika semakin dikenali dan semakin banyak tawaran lakonan yang diterima, hari ini adik kepada pelakon dan pengacara popular Sharifah Shahirah itu semakin sedar, kecenderungan kariernya bukan untuk komedi semata-mata.
Drama bersiri Bunga Merah Punya yang baru habis siaran di kaca TV membuktikan pelakon yang membahasakan dirinya Sakinah itu mampu melakonkan watak serius.
Masalah besar kepada penerimaan khalayak terhadap Sakinah sekarang ialah kegilaannya memuat turun video-video kelakar menerusi laman sosial Keek miliknya.
Video-video yang dianggapnya sebagai bahan hiburan untuk tatapan kawan-kawannya dicop sebagai aksi bodoh, lawak lucah dan memperbodohkan diri sendiri.
Tidak serik dengan kecaman yang diterima gara-gara video yang menyebut tentang pakaian dalam, Selasa lalu Sakinah diselar dan dicaci lagi akibat sengaja membiarkan zip seluarnya terbuka dalam satu video ucapan sempena hari lahirnya.
“Masalahnya, saya tidak rasa video Keek itu hendak memalukan diri atau sengaja buat lawak bodoh. Saya cuma hendak berhibur dengan kawan-kawan saya. Itu cara saya berhibur,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Beritahu Sakinah, dia juga tidak berniat untuk mencipta kontroversi atau mencari publisiti murahan dengan cara sebegitu.
“Saya juga ada masalah tidak sedar bahawa saya ini seorang artis atau selebriti. Saya cuma bekerja sebagai pelakon. Setiap hari kerja saya ialah berlakon dan ke lokasi penggambaran. Jarang pergi acara hiburan dan saya ingat saya bukan artis.
“Kalau ada masa santai, saya habiskan dengan keluarga dan kawan-kawan. Buat lawak dan mengusik orang,” katanya tidak menyangka aktivitinya dalam laman sosial Keek akan mendapat perhatian ramai.
Tambah Sakinah juga: “Kalau orang kata saya melampau batas, tidak fikir panjang dan tak fikir maruah dengan video-video yang dianggap bodoh dan tidak senonoh itu, itu memang cara saya berhibur. Setahu saya saya tidak maki hamun orang lain kerana politik atau burukkan sesiapa, saya cuma buat lawak untuk kawan-kawan.
“Orang kata saya buat lawak bodoh, sekali fikir mana ada orang buat lawak intelektual dengan kawan-kawan. Lagipun saya fikir, takkan saya nak muat naik video baca buku dalam Keek. Saya cuma bergembira.
“Apabila orang lain yang hidupnya tidak seperti saya melihat video berkenaan, mereka mencerca kerana terkejut dengan keselambaan saya padahal, selama ini kegilaan saya lebih teruk daripada apa yang dimuat naik itu,” ujarnya.
Di sebalik perangai yang gila-gila bahkan dianggap ‘ting-tong’ itu, Sakinah sedar kerja sebagai pelakon membuatkan dirinya diperhatikan. Apa sahaja keburukan akan diperbesar-besarkan dan setiap kesalahan cepat dihukum dengan pandangan serong.
“Saya juga bukan seorang yang mudah dibuli. Ada yang kata saya memberontak, lagi dikecam lagi saya akan buat. Saya bukan begitu, Keek itu tempat saya berhibur.
“Kalau orang lain jadikan kelab malam, parti atau keluar melancong sebagai cara mereka berhibur, saya cuma guna Keek. Selagi benda-benda ini tidak mengganggu tawaran lakonan dan kerja saya sewaktu penggambaran, saya okey.
“Selagi tiada ahli keluarga yang hulurkan saya penampar kerana buat kerja yang dianggap bodoh itu, saya okey. Biarlah orang hendak mengata,” katanya.
“Saya hanya jadi diri sendiri. Saya buat kelakar dengan zip seluar terbuka. Saya sengaja biarkan ia sebab saya tahu ia masih tertutup dengan baju saya.
“Apa yang saya nampak, orang Malaysia lebih suka pedulikan benda bodoh berbanding banyak lagi perkara baik-baik yang ada dalam YouTube dan internet,” katanya lagi.
Gara-gara video zip seluar terbuka yang diperkatakan ramai, perilaku tidak sopan Sakinah itu turut mendapat reaksi daripada kakaknya Shahira. Dalam nada kecewa Shahira dalam tweetnya meminta agar kelakuan bodoh adik bongsunya itu tidak dilayan.
“Saya okey dengan kakak saya dan saya tahu dia seorang yang sarkastik,” tutup Sakinah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz2V3EHgiuh 

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis